Saturday, 28 January 2017

Macam Mana Nak Buat Resume


Apa itu resume?

-Resume ialah sebuah "iklan" yang memaparkan sejarah hidup, kelebihan & kekurangan seorang pencari kerja (interviewee) berserta status pendidikan dan pengalaman bagi tujuan rujukan untuk penemuduga (interviewer).  Mengikut kajian, interviewer hanya akan membaca resume dalam 6 saat sahaja.  Bayangkanlah, hanya 6 saat sahaja untuk menentukan sama ada pencari kerja akan berjaya atau tidak untuk mendapat kerja yang dikehendaki. Resume yang bagus dan professional akan membolehkan interviewer untuk memahami sejarah dan kelayakan pencari kerja secara ringkas tapi lengkap.  Anda boleh lihat video di bawah untuk memahami dengan lebih mendalam tentang kajian 6 saat tersebut.



-Perlu ditaip dan diprint komputer dalam bentuk hard copy.  Elakkan tulis resume dalam bentuk tulisan tangan.  Nampak sangat tak profesional kalau tulis pakai tangan.  Silap haribulan interviewer gelak je tengok resume tu, langsung tak nak baca.

-Sekurang-kurangnya 2 muka surat.  1 muka surat terlalu singkat.  3-4 muka surat terlalu banyak maklumat. 

-Resume bukan ayat karangan berjumlah 2000-3000 patah perkataan.   Tak perlu nak tulis ayat karangan berjela-jela ala esei untuk peperiksaan bahasa Melayu atau English.   Sebaliknya cukup kalau tulis ayat utama (main point) pastu tulis sikit huraian.

-Perlu ada gambar peribadi dalam resume.  Lain orang, lain caranya.  Ada pendapat yang mengatakan tak perlu sebenarnya untuk memasukkan gambar peribadi dalam resume.  Cuma pada pendapat peribadi penulis, adalah lebih baik untuk masukkan gambar profil peribadi.  Cuba bayangkan kalau pada hari temuduga, ada lebih kurang 20-30 orang interviewee.  Tidak mungkin para interviewer mampu ingat satu-satu wajah semua orang yang hadir temuduga.  Jadi untuk lebih selamat, masukkanlah gambar profil peribadi anda sama ada dalam saiz A4 passport atau nak lebih senang lagi, download gambar profil dalam laptop atau komputer pastu "print out" sekali dalam resume.  Habis cerita.


-E-mail dalam resume kenalah professional. Bukan nama email bodoh seperti kepalahotakkau@gmail.com atau buntutkausial@yahoo.com.  Seboleh-bolehnya guna nama penuh.  Contoh:  P.ramlee@gmail.com. atau ramleeP@yahoo.com.  Kalau dah tak boleh dapat nama penuh, tambahlahlah “123” atau apa-apa perkataan yang dirasakan sesuai untuk e-mail.  Contoh: P.ramlee123@gmail.com.

-Ada orang yang langsung tak buat apa-apa e-mail dan tak nak letak langsung dalam resume.  Ini adalah satu kesilapan besar kerana ada sesetengah syarikat yang lebih selesa berhubung dalam bentuk e-mail.  Banyak kali orang HR akan email alamat syarikat/tempat interview.  Kadang-kadang diaorang juga akan email tempat alamat untuk buat "medical checkup" sekiranya interviewer dah berjaya lepas interview.   Email wajib ada dalam resume. 


-Seboleh-bolehnya dalam bahasa English.  Kalau dah terdesak sangat baru guna bahasa melayu.  Ya, memang Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan.  Namun begitu, kita tak tahu status background orang yang akan interview kita.  Mungkin dia lepasan graduate luar negara dan selalu cakap orang putih.  Mungkin juga bahasa inggeris ialah bahasa kegunaan utama dia di rumah sejak dari kecik lagi.  Untuk selamat, tulis jelah dalam bahasa English. 

-Kena tulis nombor rumah sebab selalunya kalau orang HR tak dapat nak contact guna no telefon, diaorang selalunya akan call no rumah.  Tapi ada juga company atau organisasi yang tak nak guna no rumah.  Jadi selalulah angkat telefon.    

-Sentiasa jujur dalam resume.  Jangan tokok tambah apa-apa maklumat.  Kalau tak ada diploma dalam akaun,  jangan gatal-gatal nak tulis diploma akaun dalam resume.  Sebarang pembohongan yang diketahui/dikesan, boleh membawa kepada pemecatan a.k.a fired.  Selalunya apabila pergi mana-mana interview, syarikat akan mintak pencari kerja untuk isi form peribadi bagi kegunaan Human Resource (HR).  Dalam form itu ada satu bahagian pengesahan di mana semua maklumat yang diberikan oleh pencari kerja adalah benar dan sekiranya didapati tidak benar, pencari kerja boleh diberhentikan.  Siap kena sign dan nama penuh lagi.  Kalau kantoi nanti menipu, memang cari pasal la namanya.

-Semak balik resume apabila anda dah selesai tulis.  Pastikan tiada kesilapan perkataan atau kesalahan tatabahasa (grammar) dalam resume.   Resume yang banyak kesilapan hanya akan menyusahkan untuk interviewer membaca dan memberi persepsi anda tidak berhati-hati dalam menyemak semula resume yang dah siap.  (tidak profesional)


Apa yang perlu ada dalam resume

1. Gambar peribadi saiz A4

2. Maklumat peribadi yang perlu ada dalam resume:

  • Nama penuh
  • No kad pengenalan.
  • Status perkahwinan.  (sama ada bujang, dah kahwin atau bercerai)
  • Alamat
  • Jantina
  • Bangsa/agama
  • Email
  • Nombor telefon
  • Nombor rumah

3. Status pendidikan.
-Kalau ada diploma, PHD, atau sebagainya, tulis lah secara ringkas. 

4. Bahasa. 
- 3 tahap untuk menentukan penguasaan bahasa dari segi penulisan, percakapan dan permahaman ialah baru(beginner), sederhana(intermediate), pakar(expert).  Penguasaan bahasa amat ditekankan dalam era pekerjaan yang global.  Jadi para majikan sangat menghargai dan mencari para interviewee yang mampu bertutur lebih dari satu bahasa.  Terutama sekali bahasa Mandarin.  

5. Kemahiran Komputer.
-Lebih  banyak kemahiran komputer lagi bagus.  Kemahiran komputer yang tinggi dapat membantu menyiapkan kerja dalam masa yang cepat dan tepat.  Para majikan sentiasa mementingkan pekerja yang arif dalam komputer.  Contoh:
  • Coding
  • Arif tentang network & data analysis.  
  • Arif tentang Microsoft Office seperti Microsoft Excel, word dan powerpoint. 

6. Anugerah & Pencapaian.
-Sekiranya pernah menerima sebarang anugerah atau sijil, bolehlah ditulis ke dalam resume.  Contoh: anugerah dekan, atau pemenang pingat emas dalam bola sepak di sukan SEA.  Salah satu kriteria yang paling dicari oleh penemuduga ialah sifat-sifat kepimpinan.  Jadi sekiranya pernah memegang sebarang jawatan, bolehlah ditulis di sini. 

7. Aktiviti/acara.
-Sekiranya pernah terlibat dalam apa-apa acara/aktiviti, bolehlah ditulis dalam bahagian ini.  Contoh: pernah terlibat menganjurkan raptai rumah sukan, terlibat dalam aktiviti riadah sukan peringkat daerah. 

8. Pengalaman kerja.
-Tulis semua pengalaman berkerja yang dirasakan berkaitan dengan kerja yang diiklankan sekiranya anda ada banyak pengalaman bekerja.  Contoh: kerja sebagai IT staff di IT deparment untuk memohon jawatan IT Head of Department. 

9. Reference atau rujukan.
-2x-3x (kalau ada) berserta no telefon, pangkat, hubungan dengan pencari kerja sama ada rakan setugas atau bos.

10. Tertib.
-Mengikut urutan atau turutan seperti yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan.  Buat resume biarlah kemas dan teratur.  Contoh apabila menulis tentang pengalaman kerja, tulislah tentang kerja yang paling awal seperti kerja sebagai admin assistant tahun 2010, pastu barulah tulis tentang kerja paling last seperti kerja sebagai admin officer tahun 2013.  Barulah resume nampak kemas bagi tujuan pembacaan.  



Apa yang tidak perlu ada dalam resume.

1. Sebab anda meninggalkan kerja lama.
-Maklumat ini tidak penting dalam resume dan hanya perlu diberikan semasa temuduga.  Jangan hina atau kutuk bos/organisasi lama dalam resume. 

2. Jangan tulis apa-apa tentang gaji yang diminta/dikehendaki. 
-Soal gaji sebaik-baiknya dibincangkan semasa temuduga.  Jangan nak demand lebih-lebih apatah lagi anda belum ditemuduga oleh interviewer. 

3. Sebab-sebab anda layak mendapat kerja ini.
-Sekali lagi diingatkan bahawa resume perlulah ringkas dan tepat.  Anda tidak perlu menyakinkan interviewer tentang sebab-sebab anda layak mendapat kerja.  Sebaliknya anda cuma perlu memberikan maklumat-maklumat peribadi yang berguna bagi tujuan rujukan. 

4. Sebarang sejarah penyakit anda.
-Sekiranya anda ada penyakit asma, pening kepala, sakit jantung dan sebagainya, tidak perlu untuk memasukkannya ke dalam resume.  Hanya tulis dalam personal interview form yang akan diberikan oleh syarikat semasa nak interview. (selalunya syarikat akan tanya tentang "personal medical history" anda dalam interview form)

5. Hobi
-Ada sesetengah orang yang "rajin sangat "nak tulis pasal hobi diaorang dalam resume.  Agaknya dah tak ada idea nak masukkan maklumat apa dalam resume, jadi diaorang pun tulis lah "hobi saya ialah main video game".  Hobi ialah salah satu benda yang paling tak penting dan tak perlu nak dimasukkan dalam resume.  (ada juga interviewer yang tanya pasal hobi masa interview sebab diaorang nak tahu apa aktiviti yang pencari kerja buat masa lapang.  Kalau diaorang tanya, bagi lah jawapan yang munasabah. contoh: jogging, main badminton atau futsal.  Jangan cakap main video game atau tidur pulak.  Biar nampak profesional walaupun memang masa lapang anda main video game)

6. Maklumat keluarga
-Tak perlu nak tulis berapa ramai adik beradik yang anda ada atau berapa banyak anak yang anda tanggung.  (Segala maklumat tentang ahli keluarga hanya perlu ditulis dalam borang interview form) Ada juga sesetengah interviewer yang berminat nak tahu pasal maklumat keluarga masa interview.

7. Nama pakwe/makwe
-Kalau anda single dan tak kawen lagi tapi dah berpunya, tulis jelah dalam status perkahwinan "single".  Jangan gatal-gatal pulak tulis status "berpunya".  Lagi mengarut kalau siap tulis nama pakwe/makwe lagi.  Hahahaha.

8. Nombor Telefon Majikan Terkini (pengetahuan am)
-Salah satu trend pekerjaan di Malaysia ialah apabila seseorang pekerja nak cari kerja baru dan tinggalkan kerja lama dia, dia akan "MC" a.k.a cuti sakit satu atau dua hari untuk pergi interview.  Bila dah dapat kerja baru, selepas itu, baru dia berhenti kerja.  Sekiranya anda salah seorang daripada mereka, dalam ruang rujukan kerja atau "reference", jangan gila sangat nak taruk majikan anda yang masih aktif. Memang kantoi lah.  Bila dah dapat kerja baru dan berhenti dari kerja lama, baru boleh "update" balik resume dan letak nombor telefon majikan lama sebagai rujukan.

9. "Reference available upon request" a.k.a rujukan kerja hanya diberikan apabila diminta
-Ni salah satu maklumat yang paling tak berguna dalam resume selain daripada hobi.  Dia tak nak beri rujukan kerja jadi dia tulislah dalam resume paling bawah sekali ayat berbunyi "reference available upon request".  Kalau tak nak taruk reference dalam resume, tak payah lah.  Habis cerita. Ni siap tulis ayat yang langsung tak berfaedah.

10. Pengalaman kerja part time atau kontrak yang tak relevan
-Ada orang dia ada banyak kerja part time atau kontrak, kadang-kadang sampai 5-10 kerja part time pernah dia buat.  Jadi apa yang dia buat ialah masukkan kesemua pengalaman kerja-kerja tersebut dalam resume dia.  Kononnya nak menunjukkan dia ada banyak pengalaman kerja.  Ini ialah satu mentaliti yang salah.  contoh: kalau dia nak apply kerja kerani pejabat, adakah relevan untuk dia bagitahu dalam resume dia pernah kerja berniaga kedai burger selama 3 bulan.  Penting sangatkah ke sampai nak dimasukkan dalam resume.  Sekiranya anda nak apply jawatan Head Of Department Accounting dan anda ada pengalaman sebagai kerani akaun selama 10 tahun.  Barulah relevan kalau nak dimasukkan dalam resume.

Dibawah ada satu resume ringkas untuk rujukan:
(SEMUA MAKLUMAT DI BAWAH ADALAH TIDAK BENAR & HANYA UNTUK TUJUAN RUJUKAN SEMATA-MATA)


RESUME: P. RAMLEE BIN P. TAJUDDIN (NAMA PENUH TULIS KAT SINI)

(GAMBAR PERIBADI SAIZ A4)

PERMANENT ADDRESS

Address:          110, Blok A, Seri Mulia                            Email:    p.ramlee123@gmail.com
Taman Sri Panglima, 41250, Klang
Selangor Darul Ehsan
Tel (Home):    03-336961                                             Tel (Mobile):   012-9189572

PERSONAL PARTICULARS

Age                  :           24                                             Date of Birth   :           28/4/1990
Nationality      :           Malaysia                                   Gender             :           Male
Marital Status :           Single                                        IC No               :           90032010

EDUCATIONAL BACKGROUND

Highest Education
Level                :           Diploma in Office Management and          CGPA    :           3.73
Technology (UiTM) 2016
Secondary Education
Level                :           SPM (2012)                                            Grade   :           6A, 4B  

LANGUAGES

Language
English                           :           Intermediate in writing and speaking
Malay                            :           Expert in writing and speaking
Chinese                         :           Beginner in writing and speaking

COMPUTER SKILLS

-Good in Ms Office, PowerPoint & Excel, Adobe Photoshop.  Familiar with Networking and Database

-Good Understanding of PC/Laptop Hardware & Office Equipment.  Good knowledge of mobile development coding.
   
AWARD AND ACHIEVEMENT

2008                            :           Dean List with GPA 3.65
2009                            :           2nd Place in Typing Competition 
2010                            :           Committee Member of Orientation Week for New Student 
2011                            :           Facilitator of Orientation Week for New Student Session January

ACTIVITIES

2009                            :           Vice Director of Maulidur Rasul Event 
-Involved in the planning and coordination for the “Maulidur Rasul Event” at Uitm Shah Alam

2010-2011                   :           Head of Student Committee of Uitm Shah Alam
-Manage Student Committee and organize activity for student

WORK EXPERIENCE

May 2011– April 2012:           Record Department of Arif Sdn Bhd
-Work as Temporary Administrative Assistant for 1 year

April 2013-May 2015: Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. Shah Alam Unit
-Work as IT Staff for IT Department for 2 years

June 2015-Jan 2017:          Tila Logistic Sdn Bhd  
-Work as Admin Officer for 2 years

REFERENCES

Name                           :           Encik Azman Safee
Telephone                   :           03-87123633    
Position                       :           HOD
Company                     :           Arif Sdn Bhd

Name                           :           Encik Ridhwan
Telephone                   :           012-3280000                
Position                       :           Admin Officer
Company                     :           Tila Logistic Sdn Bhd

(BUAT 2-3 REFERENCE)



Akhir kata.

Resume amatlah penting, tapi takdelah penting sangat sampai boleh menjamin boleh terus dapat kerja yang diingini 100 percent.  Ada banyak variasi resume yang boleh dicari online dan resume yang diatas adalah antara yang ringkas yang boleh dibuat.  Jangan terlalu obses sangat sampai nak buat resume paling perfect atau sempurna.  Sekali lagi diingatkan, resume yang bagus akan membantu interviewer dalam memahami sejarah ringkas hidup, status pendidikan, skill dan kebolehan interviewee dalam masa lebih kurang 6 saat.  Jadi buat resume yang ringkas tapi lengkap. (resume penting tapi tak terlalu penting.)

No comments:

Post a Comment